December 23, 2008

Persis Gagak

Gagak dan kita sama seusia,
wujud sedari adam dan hawa,
jadi ilham pada manusia,
menutup khilaf dan durjana,
angkara hasad jua haloba.

Salah bukan letaknya
pada gagak akalnya tiada,
salah memang sanggarnya
pada insan berakal sempurna.

Ilham usrah ahad 21/12/2008.

December 14, 2008

Be My Darling

I want to be your sun
But I doubt you hate the shine
I want to be your stream
So we can share our dreams
And that's why I want to be your honey
So that I can love you many

Oh
I want to be your shadow
We won't be apart even when you are on the pillow

I love your smiling face
My heart running without a proper pace
I love when you call me dear
My eyes blink into tears
And that's how you touch me darling
Just with smile and a simple caring

Oh
My heart mellows when you say hello
My heart grows fonder when you are not here

I want to be the air
That you fear to share
I want to complete you
But I doubt I would scare you
I want to love you
But I doubt you just see me through

Oh please
Let me be yours lovely
So you can be my darling

Sarah Mohd Shukor
14 December 2008
Moscow

Note: Is there anyone who knows how to compose song? Please do one for me. Hehe.

December 12, 2008

Nyah!

Wahai kisah setahun dulu
nyahlah kau dari sini
kau tak diperlukan lagi.
Aku bukan main-main
benci aku melihat kau memusing.

Aku serius berkata-kata.
Aku ada terompah kayu
yang boleh kubaling padamu.
Biar benjol.
Biar semua tahu itu kau yang dulu.

Kau yang memperbodohkanku
dan
aku yang diperbodohkanmu.


Sarah Mohd Shukor
12 Disember 2008
Moscow

Nota: Sajak bodoh-bodoh pertama saya. Seronok juga menulis tanpa mematuhi syarat sastera begini. Pantulan jiwa sungguh. Sajak bodoh-bodoh sesungguhnya adalah sangat jujur.

November 26, 2008

Hatiku Bukan Arca

Hatiku bukan arca
didagang sini sana
dilerai ikut suka
dilebur, lalu dikitar semula.

Pergi!
Hatiku bukan untuk disewa.


Sarah Mohd Shukor
Moscow
26 November 2008

November 17, 2008

Nyanyian Lagu Rindu Buatmu

Aku ingin menghadiahimu sebuah sajak,
yang penuh udara, lagi menenangkan,
yang penuh cinta, kisah di musim bunga,
yang penuh di dalamnya, cerita tentang kita.
Aku ingin menghadiahimu hajatku,
hajat agar kita tidak lagi naif, tidak lagi cemburu,
hajat ibarat matahari dan api unggul,
hajat yang jernih suci seperti air bukit mengalir,
hajat yang sempurna seperti dirimu.

Kau inginkanku,
nyanyikan lagu rindu buatmu.
Merawatmu,
merawatmu dari luka kesepian.
Kau inginkanku,
menghadiahimu sebuah lagu.
Lagu tentang cinta,
tentang cinta dan perpisahan.
Walau bersakitan aku sepanjang musim bunga,
memerah fikiran,
tetap jua aku fikirkan,
frasa-frasa cinta,
lalu kutulis dan kusatukan,
di atas helaian kertas nipis lagu cinta diciptakan.

Aku ingin menghadiahimu tujuh helai nota,
biar siang, biar malam,
biar berpanas api, biar berlecah air.
Semuanya hanya bagaikan kulauan kilat di musim bunga,
yang membawa tujuh helai nota magis penuh sepi.
Aku masih ingin menghadiahimu sebuah sajak,
yang penuh udara, lagi menenangkan.
Aku ingin menghadiahimu cinta,
sebuah cinta yang bukan hanya sebuah frasa,
sebuah cinta yang penuh makna.

Dan aku tetap mahu.
Mahu menghadiahimu cinta itu.


hochesh ya tebya spoyu - Korni


Diterjemah oleh,
Sarah Mohd Shukor
Moscow
17 November 2008

Lagu ini hasil karya seorang pemuda yang bukannya seorang penulis lirik, Pavel Zhagun. Beliau merupakan seorang yang meminati sajak dan ketika sajak ini ditulis, beliau masih lagi menuntut di sebuah institut dalam jurusan Ekonomi dan Statistik. Kebetulan, beliau berkawan rapat dengan salah seorang anggota kumpulan Korni dan kumpulan tersebut tertarik dengan bait-bait sajak yang ditulisnya. Maka kemudian, berdasarkan sajak ini, sebuah melodi telah dicipta khas supaya sajak ini dapat dilagukan seperti lagu biasa. Saya kira ramai yang berpendapat lagu ini hanya sebuah lagu biasa yang membawa mesej cinta dan pengorbanan. Tetapi saya melihat lagu ini dari aspek puitis yang terdapat di dalamnya. Jika dihayati di dalam lagu ini, unsur rima dan pengulangan sangat banyak digunakan dan teknik ini berjaya menampakkan penekanan atau kebersungguhan si penulis untuk menyatakan cintanya.

Hehe. Ini kali pertama saya mengulas lagu/sajak mengikut teknik penulisan sajak. Tapi saya kira, lagu ini ada unsur harmoni dan manis yang disusun dalam bait-bait yang bersahaja tetapi lembut dan menyentuh hati. Saya suka lagu ini =)

November 10, 2008

Adat

Belum tersurat dalam adat
bunga keluar mencari kumbang
ayam berkejar mencari musang.

Belum tercatat dalam hikayat
perigi dambakan timba ceduk
bulan taksub merindu pungguk.

Manakan adat tiada bertempat
melainkan ini kisah barat
pandangan pertama bisalah ralat
masakan hamba tidak beradat.


*Ada desas-desus yang kurang enak saya dengar. Ini jawapannya.

November 8, 2008

Bukan Pagi Biasa

Ini bukan pagi yang biasa,
Tiada nyaman, tiada tenang,
Deru anginnya cukuplah tajam,
Hingga luntur nikmat berjalan.

Suria sugul di balik awan,
Mengintai peluang tipis,
Mengirim sinaran pada insan,
Cahaya yang tak seberapa,
Sekadar penerang tiada panasnya.

Embun pagi belum lagi pergi,
Meski hari kian meninggi,
Ironi,
Namun tidak bagi kami di sini,
Resahku berfikir,
Senggang mentari memeluk bumi,
Kian berakhir.

Dan salji putih pun turun merata,
Mengiringi rentakku pulang dari Rosalima,
Tebar fikirku dapat mengagak,
Musim sejuk bakal bertapak.


KS suka musim sejuk. Namun, saya sebaliknya. Selamat menyambut ketibaan musim sejuk ye warga Moscow.

November 4, 2008

Doa-doa Cinta

Wahai orang yang mulia hatinya,
sudah lama aku menyusah batin
tenggelam dalam mujahadah.
Aku tiada siapapun di sini kecuali Allah menemanku
tapi kau datang dengan suara penyejuk jiwa.
Aku ingin menjadi yang halal bagimu
yang akan kau pimpin tangannya
kau dakap dirinya.
Puas aku berdoa
tapi kau tak juga sedar.

Aku hanyut dalam pasrah
selamanya Allah penemanku
dan semoga kau tak pernah tahu.

Dari orang yang pernah berharap,
Sarah.

October 30, 2008

Salam Buat Mogadishu

Kepada Rohaa,
Apa kucatat ini satu khabaran gembira.
Aku kini lulus berjubah putih,
pangkatku baik, pasti jerih berbalas sengih.
Aku kini boleh pulang,
terbang merentas alam, pulang ke sarang.
Kau tunggu aku di sana,
aku rindu senyum tawa kita,
dalam pondok usang baringnya Nenek Husnaa.
Aku rindu batuk kokol si tua itu,
masihkah dia ada?
Syafakillah buatnya dari benua Asia.

Usah khuatir, Rohaa.
Aku pulang sebagai aku yang sama.
Cuma aku bukan seorang.
Bersama pasukan hulubalang terbilang.
Misi kami di Mogadishu hanya dua:
Rawati semua, ubati jiwa.
Juga pulihkan maruah agama.

Moga-moga,
tiada lagi melarat sakit,
kuranglah batuk-batuk pedih itu,
yang buat ulu hatiku menangis
melihat orang kita derita, mati, dihina
dan diseksa.
Aku pulang nanti
untuk membasuh kota Mogadishu.


Sarah Mohd Shukor
30 Oktober 2008
Ptisiopulmonology Hospital,
Kota Moscow, Rusia.

Sajak ini ditulis kerana terkesan dengan mangsa Tuberculosis yang tidak pernah berkurang di bumi Somalia. Kadar kematian adalah sangat tinggi di sana terutamanya di bandar-bandar kecil tempat bertumpunya penduduk yang beragama Islam. Bantuan antarabangsa yang tiba di sana adalah terhad daripada WHO dan sebuah NGO Kristian daripada Amerika saja. NGO Islam seperti FIMA di manakah mereka? Semoga ada penyelesaian yang lebih baik di hari muka.

Nota: Saya semakin ketandusan idea untuk menulis. Saya rasa kosong. Apa yang saya tulis kebelakangan ini tiada jiwa. Pertamanya mungkin kerana saya kurang membaca tulisan-tulisan bestari para penulis profesional semenjak sebulan ini kerana tuntutan studi yang padat setiap hari. Keduanya mungkin kerana saya semakin tidak kreatif. Sebetulnya, saya memang tidak pernah menulis dengan baikpun selama ini. Saya kena caj kuasa dalam diri saya ni agaknya. Semoga berjaya!



October 21, 2008

Terima Kasih Cinta

Terima kasih hati
kerana tabah atas musibah
dan jalan payah
dalam gugusan kisah sejarah
tatkala kami bernama kita.

Terima kasih mata
atas suaman rasa
simpati meminjam selesa
dalam mengadun sepelaung suka-duka
kisah kami namanya kita.

Terima kasih pena
menjadi kawan bercerita
asbab utama terluah segala
dalam menulis apa kisahnya
semasa kami masih kita.

Terima kasih cinta
berkongsi dua hati
menatap empat mata
berkasih atas pena
melakar satu rasa
sepanjang kita bernama kita.

Walau kini tiada kita
hati, jangan kau rindu.
Mata, jangan kau nangis.
Pena, jangan kau tulis.
Cinta kami sudah tiada
berpisah hujung nyawa.
Terima kasih jiwa
kerana menyimpan nama cinta.


Sarah Mohd Shukor
21 Oktober 2008
Musim Luruh, Moscow