September 21, 2008

Se d├ębarrasser de ........!

Niatnya menjangkau minda,
riuhnya gempita menebar berita,
usahanya bagai esok sudah tiada,
hasrat hatinya mulia,
bejat jadi saksama.

Aku tunggu,
dan tetap tunggu,
tak kira berapa lama pun.

Cendala dihunus perlu,
lagi dibiar lagi menipu,
kasta bawahan diam kelu,
lagi melawan lagi diburu.

Sulam harap dalam doa,
selamatlah kamu sentiasa,
bebas berjuang dijerat tiada.

Aku harap,
dan terus berharap,
walau capainya masih gelap.

"Kuotasi Lelaki Misteri"

September 20, 2008

Tamsilan Rindu

Papasan hari-hari
sunyi bening
tamsilan hati hening
di kala jauh.

Dan bunga memenuh
siulan suara riang
di kala bertemu
menebar berita rindu
tatkala tiada.

Dan nanti menjauh
detak rindu berpesan selalu
jaga dirimu
dan aku mengumpul detak
untuk kutulis
puisi-puisi dari hati
kerana
kita dekat di dalam puisi
dan lagu-lagu yang dinyanyi.

Sarah Mohd Shukor
19 September 2008
Kamar 205

Hehe. Mesti ada yang muntah hijau =p Muntah di malam hari saja. Di siang hari batal puasa. Oh. Saya patut bagi amaran di atas sana. Jangan baca jika kamu sedang berpuasa. Hihi =) Gambar pilihan di bawah ini ada kata-kata yang manis dan lebih sesuai untuk sebuah sajak lama yang pernah saya letakkan di sini dulu. [Cinta (i)] Atau, patutkah saya tajukkan sajak kali ini sebagai Cinta (iii)? Heh. Apa-apa ajelah. Tak kuasa pening-pening. Filosofi cinta kalau menurut terjemahan saya memang akan sedikit cacat bunyinya. Jadi, sila jangan percaya. Hehe.

September 18, 2008

Mergastua

(Mengenang Nasib Tanah Bangsa)

Menjadi yang disuruh lagi menurut
diarah lagi dikerah
digesa lagi dipaksa
mengiyakan yang ada
benar itu fasal ketiga
pokoknya buat lagi laksana
biar lancar tiada mengonar.

Kiranya kuasa fasal pertama
perut dan keluarga fasal seterusnya
adalah kita tiada beda
sama kurungan dalam kandangan
di mergastua.

Sarah Mohd Shukor
22 Julai 2008
Temerloh, Pahang

Sinikal? Mesti. Sebab saya sayang negara saya daripada terus-terusan dititah-titah oleh orang yang berfikir kurang guna akalnya. Kalau lepas ni saya tak terus menulis, maksudnya cari saya di lubang ISA. Huhu.

September 17, 2008

Serpih Doa Seorang Cendala

Garapnya pada doa-doa
dan sujud-sujud sahaya
dan tangis-tangis hamba
mencuri sedikit berkat Ramadhan
untuk bertemu Tuhan
membawa serpih harapan
disua keampunan dan ihsan
riwayat hidup songsang si cendala
diterima taubat dan abdian
walau berkepuk arang hitam
terpikul di pundak, memberat belikat
berkemudi menuju tanah akhirat.

Butuhnya kini cuma dua
taubat nasuha dan makbul doanya.
Butuhnya Ramadhan memberi kasih
Tuhan mendengar apa dijerih
dan hanya pada-Nya
yang besar dan kecil itu tertulis.*

*(Al-Qamar : 53)


Sarah Mohd Shukor
9 September 2008
Moscow, Rusia

**Selamat Hari Lahir buat Adam Mohd Shukor.

September 13, 2008

Yang Kedua

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Yang kedua! Monolog Anak Merdeka pula tersiar di Berita Harian, Sabtu, 13 September 2008. Saya tulis sajak itu kira-kira 2 minggu yang lalu. Saya rasa mungkin tiada harapan untuk disiarkan. Tambahan pula, saya rasa sajak-sajak patriotik begini orang selalu menilainya sebagai 'sajak keras'. Dan pagi tadi saya terkejut mendapat perkhabaran daripada Cikgu Jawe dan email daripada rakan se-GKLN yang memaklumkan tentang ini. Apa-apapun, terima kasih kepada emak saya dan Saudara Amin Minhad yang banyak memberikan sokongan.

Nampaknya saya betul-betul kena berusaha untuk memperbaiki mutu penulisan saya. Kan kan kan =)

p/s: Saya tengah tunggu ayah emailkan gambar dari surat khabar :D Dah dapat nanti baru saya muatnaikkan di sini.

Sarah Mohd Shukor
13 September 2008
Moscow, Rusia

September 10, 2008

Kerana Kau Raduan

(Buat Mohd. Raduan Emeari, atlet Malaysia di Sukan Paralimpik, Beijing)

Kau kiasan anak masa depan
teladan buat si sempurna
kau di sana tiada kurangnya
biar bicara payah lepas
biar sebutan tiada jelas.

Aku biarkan kau
berlari terus berlari
menjadi halilintar
kerana padamu ada
sinar-sinar yang masih terang
belum kelam
semakin benderang.

Biar apa yang menanti
pun aku biarkan kau terus berlari
menjadi halilintar
dengan doa
satu hari kau akan berdiri di sini
menjadi Raduan milik kami
sekali lagi.


Sarah Mohd Shukor
12 September 2008,
Moscow Yang Sejuk.

September 7, 2008

Yang Pertama

Assalamualaikum wbt

Walaupun hasilnya tak seberapa, tapi Alhamdulillah tersiar pula. Terima kasih emak, ayah sebab mengkhabarkan hal ini. Tapi saya ni yang pening lalat di pagi hari tertulis Berita Minggu pula. Padahal di Mingguan Malaysia, 7 September 2008, Pada Tanah Ini. Ini yang pertama. Yang kedua akan menyusul kemudian, insya Allah =)


Nota: Terima kasih Saudara Fahd Razy dan Judin atas bimbingan dan sokongan =)


Sarah Mohd Shukor
Kota Moscow
Kesatuan Tanah Rusia