June 9, 2008

Walau Seribu Tahun

Dia kembali
mendegupkan hati menjadi sangsi
walau ditebar selaut kata percaya
di hati pacaknya sejengkal cuma
kalau diumpan segenggam manisan
hilangkah parut di mata kail,
terubatkah luka dengan tuba?

Sangsi itu
datangnya berbukti
perginya tak jauh
kesannya ke detik ini
aku di bibir, dia di hati
yang mana kau sayang
yang mana kau kasih?

Di saat kau mencari kasih
dialah naunganmu
lalu rasa terpilih
untuk terus bersatu
sayangnya tiada penyudah
untuk meletak satu noktah.

Hadirlah aku
pertama membawa ceria
kedua membawa bahagia
ketiganya pastilah cinta
lalu kau letakkan tema
akulah dunia, akulah syurga
tika itu dia tiada
rajuknya ke hujung dunia
menganyam rasa di lubuk jiwa.

Kau hilang kata
tatkala terasa dunia tidak bermakna
di saat tiada dia
ghaibnya ditangisi
maka,
layakkah aku untuk menyaingi?

Aku kalah sebelum beradu
beralah aku tiada yang pujuk
kerana dia kini kembali
walau seribu tahun
tiada tempat buatku di sana
kerana dirinya sentiasa ada
dia yang dekat, digapai
aku yang jauh, terabai.

Walau seribu tahun kutunggu
tiada tempat di sana buatku
maka,
izinkan aku berlalu.

Sarah Mohd Shukor
9 Jun 2008
Kamar 205, 10.00pm


Macam orang putus cinta pula bunyinya. Inilah hidup. Bercinta tak semuanya manis. Berpisah tak semuanya rela. Ada yang bercinta kerana saja-saja. Ada yang berpisah kerana suka-suka. Pesan orang tua, bila mencari teman hidup, doakan berkekalan. Bukan niat untuk mempermainkan. Hidup ini ada karmanya. Tidak pada kita, anak cucu-cicit kita pula mendapat balasannya. Pokoknya dalam berteman itu biarlah ada setia dan percaya. Tiada yang dua ini, pastilah gagal jua. Hmm. Saya menyesal tidak sempat jumpa yang dua itu dulu. Moga akan ketemu nanti.

Yang dua itu, cepat-cepat menjelma kamu. Saya perlukan kamu berdua sekarang. Ini arahan.

Nota piat telinga: Hey Sarah. Awak ada exam Infectious Diseases hari Rabu ni tau. Susah tu. Pergi sambung baca buku. Ayuh, ayuh.

Sarah jawab: Aaa... Saya sudah tepu. Hati pun tengah sebu. Saya mahu tidur! :(

p/s: Dah lama saya tak menulis sajak panjang. Abang Khairil baca ni mesti dia gelak. Sebab sajak yang panjang biasanya akan jauh menyimpang dan lari dari tujuan. Dan terbukti dalam sajak ni pun macam bersimpang-siur. Tak gitu, sifu? Heheh. Sila beri tunjuk ajar ye pada saya yang suka merapu ni =)


2 comments:

Anonymous said...

:)

Sarah Mohd Shukor said...

Faiq:
awk jgn fikir yg bukan2 tau. ni takde kaitan langsung ni. sy kan macho. huhu :p