June 28, 2008

Ubat Seribu Jiwa

Dalam suram senja di Keleti Pu
Budapest sendu bermandikan zikir
bergetar hening suara Panglima
melaut gemanya di kota ini
memecah tradisi Budha dan Majusi
mengerah segenap yang bernyawa
kembali pada fitrah buat seketika
tuntutnya menjadi yang tepat waktu
mengejar untung
mengenal Yang Satu
membuang jauh segala nafsu
gemanya lantang beramaran
juga amarah buat si syaitan
suara Panglima tetaplah juara
juara menuba hati batu
ragut dunia mengingat Si Agung
dalam syahdu
Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar!

Sarah Mohd Shukor
Budapest, Hungary,
20 Jun 2008

Saya menulis ini ketika dalam perjalan meninggalkan Budapest menuju ke Bratislava. Cuaca suram seperti senja sedangkan hakikat hari masih petang. Saya terlihatkan kelibat masjid ketika dalam perjalanan dan kebetulan di TV ditayangkan filem The Bodyguard (lakonan Whitney Houston). Terdengar lagu Run To You. Saya teringatkan seorang kawan. Jadi, 'tertulislah' sajak ini. Sekadar untuk diinsafi bersama, tentang solat di awal waktu. Jika di Moscow, kadang kala ada halangan untuk dapat solat di awal waktu. Masih di hospital atau sedang berada dalam perjalanan pulang (bagi waktu Zohor dan Asar). Tapi sejak balik bercuti, tiada masalah rasanya untuk sentiasa solat di awal waktu tapi saya akui di saat tiada halangan nyata untuk menunaikannya, saat itulah halangan batin menjelma. Kadang kala, terasa geram dengan diri sendiri kerana mengutamakan benda remeh lain termasuklah hendak menghabiskan kartun yang ditonton sehingga tepat jam 5 baru hendak solat Asar. 2 hari lepas, saya terlihatkan adik saya, Aiman, bergegas mengambil wudhuk sebaik azan dilaungkan. Kagum saya melihatnya. Sebaik azan tamat, dia terus masuk ke biliknya dan solat. Dalam hati saya berdoa. Kekallah dia begitu sampai bila-bila. Amin. Peringatan buat diri saya, saya sebolehnya akan sentiasa solat di awal waktu, sebaik selepas azan, selagi tiada halangan mendatang, insya Allah. Doakan saya istiqamah.

Aku Bayang-bayang

Aku bukan Shah Jehan
bisa bina Taj Mahal indah buatmu
lalu bersyair di jendela
menyatakan syahdunya cinta
beralun desirnya suara rindu
menambat hati Sang Ratu.

Kerana itu bukan aku
lalu kupinta padamu
izinkan aku menjadi duniamu
membawa ria di setiap waktu
menghapus segenap titik sendu.

Kerana itu bukan aku
kiranya tak sudi kau lihat wajahku
maka berikanku peluang
menjadi bayang-bayang
bersenggang denganmu ku tak mampu
dibenci dirimu ku tak mahu
gerakku di sampingmu di siang hari
tidurku mendampingmu di kala dini
aku di sisi
tak kulari pergi.

Sarah Mohd Shukor
Budapest, Hungary,
20 Jun 2008

Huhu. Ini sajak yang buat tekak saya meloya :p Saya tulis selepas mandi sementara menanti waktu Subuh ketika di Budapest. Punyalah penat ketika tiba di sana. Saya tidur tanpa mandi pun. Terbangun jam 2 lebih barulah saya mandi dan alang-alang Subuh masuk jam 3 lebih, sempat saya menulis sajak ini kerana teringatkan kata-kata dalam filem Head in the Cloud dan kebetulan kerana terpandangkan bayang-bayang sendiri dalam cahaya suram bilik. No offense. Saya akui sajak ini meloyakan =)

June 25, 2008

Jauh (vi)

Merenung hijaunya Sungai Slowakei
di puncak istana lama Bratislavsky
di terik panas musim gandum menguning
ada hati basah
berair mata perit
mengingat kasih yang jauh
mengenang kasih yang putus
adalah hati itu sungguh setia
adakah ini nasib seadilnya?

Sarah Mohd Shukor
Bratislava, Slovakia,
21 Jun 2008

Jauh (v)

Bawah langit biru
awan putih gebu
tanah tinggalan Maria Theressa
menyaksikan
aku menangis lagi
mengingat dia
yang tak sudi
berkongsi kasih
denganku lagi.

Jangan ditegur air mata itu kenapa.
Biar tangisan itu ditinggal tanpa jawabnya.

Sarah Mohd Shukor
Bratislava, Slovakia,
21 Jun 2008

Jauh (iv)

Yang jauh
yang itu aku
rindu,
mahu.
Yang sungguh aku
ingat,
sangat.
Yang buat aku
tangis,
sedih.
Yang tidak aku mampu
harap,
kasih,
lagi.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008

Jauh (iii)

Segalanya sudah
aku pasrah
dilayan rajuk berairlah mata
dilayan sedih berdurjalah dunia
sungguh, aku redha
yang jadi ada hikmahnya.
Jauh,
inilah nasibnya.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008

Jauh (ii)

Tapi apa makna
kasih atau derita
kiranya
curiga sentiasa ada
gelapkan hatiku buta
saat jauh dari mata.

Bagimu ini biasa
Bagiku tidak betah.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008

Jauh (i)

Jauh
mata kukatup lama
terasa kau ada sama
buat hati rasa berat
kerana hakikat
kau dekat.

Sarah Mohd Shukor
Prague, CZK,
19 Jun 2008

June 19, 2008

Mahu Tapi Malu

Aku merenung kamu,
Tiap kali bertemu,
Berbicara denganmu,
Sememangnya ku mahu,
Namun lidahku kelu,
Ingin ku beritahu,
Aku suka padamu,
Namun diri ini malu,
Bukan apa aku begitu,
Kerana aku tidak tahu,
Berbalaskah hantaran hatiku,
Andai tangan bertepuknya satu,
Elok ku derap langkah seribu,
Andai berbalas dulang cintaku,
Elok ku karang lagu buatmu,
Sukmaku bukalah pintu,
Moga dapat ku temu,
Cinta sebenar yang satu,
Aku kini hanya termangu,
Bagai terentak ruas ke buku,
Tiada lagi masa menunggu,
Perasaan di hati jangan diragu,
Kelak melepas cinta yang diburu.

Hafizuddin Awang
Moscow City
190608
-apa hal ni tulis macam ni??-

Buku Memori

Di balik timbunan buku usang,
Kusam dan pudar penuh bersawang,
Buku yang penuh bermakna,
Yang ingin aku kongsi bersama.

Harapanku;
Mimpiku;
Ceritaku;
-dari riwayat lalu,
Ada yang indah,
Ada yang bermasalah,
Yang bisa aku selami dan merenung kembali,
Dan bisa membuatkan aku ketawa sendiri.

Aku tangisi segala kegembiraan,
Aku ratapi segala kesedihan,
Aku bersyukur dengan kehidupan lalu,
Kehidupan yang penuh warna dan liku,

Helaian-helaian kenangan ini,
Mereka sentiasa berada di sisi,
Tertulis rapi di buku memori.

Hafizuddin Awang
Moscow City
190608

p/s: sayu pula bila mengenangkan masa2 lampau yg telah berlalu, dan tak mungkin dapat dikecapi sekali lagi. Ada yang datang, ada yang pergi. Hari ini, aku dengan rasminya menjadi pelajar perubatan tahun keempat. Pantas sungguh masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah masuk tahun keempat. Alhamdulillah, tahun ketiga berlalu dengan tenteram tanpa sebarang masalah.

June 16, 2008

Pada Tanah Ini

Pada tanah ini yang memerah
ada darah datukku
dahulu menghunus parang
membuang petualang
terkubur bukan kalah
dialah pahlawan bertaruh nyawa
demi tanah ini
bergadai jasad sangguplah jua.

Demi tanah ini tempat berdiri
galang-ganti harga diri
tanah junjungan pertiwi
asyiknya idamkan berdiri sendiri
bunuh itu British!
usir itu Jepun!
biar bercerai kasih
takkan dia berganjak sedikit pun.

Tanah ini tanah bebas
kerana tangan-tangan berdarah itu
melihat neraca hidup seperti roda
yang zalim pastinya tewas
yang benar menanglah jua.

Jaga tanah ini baik-baik
jangan biar retak
jangan biar dipajak
tanah ini ada harta
dari tangan berdarah dahulu
buat warga bumi merdeka.

Sarah Mohd Shukor
16 Jun 2008
3.29 pm
-sebelum mandi untuk ke airport-
-khas untuk Cik Rynn-
Moscow

Rynn, kurang enak harap dimaafkan. Ni je yang mampu difikirkan dalam beberapa minit ni. Huhu. Selamat berjaya nanti! Ok. Mahu mandi! Lalala. Airport bagai melambai-lambai sudah :p





6.43 Petang Yang Sebak

(Jangan Lupa Daku)

Dengung rel bergesel terhenti
memisahkan kami, pada dua sisi
manusia berpusu laju
meninggalkan gerabak kaku
di musim panas yang kering
saat dia melangkah pergi
lantas hati pun sebak
menilik hari muka
mungkinkah ketemu lagi
hanya mampu kutunduk wajah
memandang hujung kaki
mengesat hujung mata
raung berbaki di hati
6.43 petang yang sebak
mengukir satu memori.

Sarah Mohd Shukor
0000
16 Jun 2008
Moscow

June 13, 2008

Cinta (ii)

Cinta itu datang dengan tawa
jadi tawar
bila semuanya bahagia
tiada ujian melanda.

Cinta itu datang dengan air mata
jadi segar
bila adanya suka duka
menguji setia.

Cinta itu ketawa dan air mata
hilang tawa berderailah tangis
hilang tangis tersemailah kasih.

Sarah Mohd Shukor
7.14 pm
13 Jun 2008
Moscow

Serius, ini spontan saja. Saya tulis sebagai respon kepada sajak Bro Ashar di komen sajak yang lepas. Kumpulan Lestari dulu-dulu ada menyanyikan lagu Cinta Itu Ketawa dan Airmata. Kecik-kecik dulu saya gelakkan tajuk lagu tu. Lirik pun jiwang karat zaman rock kapak. Bila dah besar ni baru rasa ada benarnya semua itu. Cuma airmata kita tu layaknya gugur pada siapa sepatutnya. Cinta si dia di dunia atau cinta Dia di sana. Rugi je bercinta sakan sekarang ni tapi tiada hujung pangkal yang diletakkan satu matlamat sebagai destinasi tujuan bersama. Bercinta di dunia ini sepatutnya meletakkan dia sebagai sebahagian daripada perancangan kita. Apa yang difikirkan untuk masa depan, kita nampak si dia ada bersama. Begitu juga cinta buat Dia yang esa. Kita tahu apa matlamat kita. Jadi, dalam setiap apa yang kita lakukan, jangan dikesampingkan Dia. Dalam apa saja yang kita rancangkan, kita nampak Dia sebagai peneman dan matlamat akhir kita. Ini barulah cinta sebenar-benar cinta.

Ok. Saya dah geli pula ter-overdose cerita pasal cinta. Ambil dari sudut yang positif. Cinta itu fitrah. Lihat hati kita sendiri untuk menjelmakan yang fitrah itu sebagai hitam atau putih. Janganlah ada yang menafikan tidak mahu dicintai. Hati yang mati saja yang tidak punya naluri ini.

Cinta (i)

Tanya aku
bahagia itu
apa rasanya
dan jawabnya
setiap hari
jatuh cinta
ulang-ulang denganku.

Dia tanya
bahagiakah aku
bersamanya
aku menjawab
aku hari-hari
jatuh hati
dengan dirinya.

Soal jawab kami
kini ada noktah
cinta dan bahagia

Sarah Mohd Shukor
2.54 am
13 Jun 2008
Moscow


Nota: Ada yang bertanya, kenapa melankolik sangat sajak yang lalu. Jadi ini sambungannya. Setiap yang melankolis itu mestilah ada pasangannya yang romantis. Huu... jiwa-jiwa pula. Sudah sudah. Jangan fikir yang tidak-tidak. Semua yang saya tulis langsung tiada kaitan dengan diri. Saya ni menulis ikut suka hati =)

June 9, 2008

Walau Seribu Tahun

Dia kembali
mendegupkan hati menjadi sangsi
walau ditebar selaut kata percaya
di hati pacaknya sejengkal cuma
kalau diumpan segenggam manisan
hilangkah parut di mata kail,
terubatkah luka dengan tuba?

Sangsi itu
datangnya berbukti
perginya tak jauh
kesannya ke detik ini
aku di bibir, dia di hati
yang mana kau sayang
yang mana kau kasih?

Di saat kau mencari kasih
dialah naunganmu
lalu rasa terpilih
untuk terus bersatu
sayangnya tiada penyudah
untuk meletak satu noktah.

Hadirlah aku
pertama membawa ceria
kedua membawa bahagia
ketiganya pastilah cinta
lalu kau letakkan tema
akulah dunia, akulah syurga
tika itu dia tiada
rajuknya ke hujung dunia
menganyam rasa di lubuk jiwa.

Kau hilang kata
tatkala terasa dunia tidak bermakna
di saat tiada dia
ghaibnya ditangisi
maka,
layakkah aku untuk menyaingi?

Aku kalah sebelum beradu
beralah aku tiada yang pujuk
kerana dia kini kembali
walau seribu tahun
tiada tempat buatku di sana
kerana dirinya sentiasa ada
dia yang dekat, digapai
aku yang jauh, terabai.

Walau seribu tahun kutunggu
tiada tempat di sana buatku
maka,
izinkan aku berlalu.

Sarah Mohd Shukor
9 Jun 2008
Kamar 205, 10.00pm


Macam orang putus cinta pula bunyinya. Inilah hidup. Bercinta tak semuanya manis. Berpisah tak semuanya rela. Ada yang bercinta kerana saja-saja. Ada yang berpisah kerana suka-suka. Pesan orang tua, bila mencari teman hidup, doakan berkekalan. Bukan niat untuk mempermainkan. Hidup ini ada karmanya. Tidak pada kita, anak cucu-cicit kita pula mendapat balasannya. Pokoknya dalam berteman itu biarlah ada setia dan percaya. Tiada yang dua ini, pastilah gagal jua. Hmm. Saya menyesal tidak sempat jumpa yang dua itu dulu. Moga akan ketemu nanti.

Yang dua itu, cepat-cepat menjelma kamu. Saya perlukan kamu berdua sekarang. Ini arahan.

Nota piat telinga: Hey Sarah. Awak ada exam Infectious Diseases hari Rabu ni tau. Susah tu. Pergi sambung baca buku. Ayuh, ayuh.

Sarah jawab: Aaa... Saya sudah tepu. Hati pun tengah sebu. Saya mahu tidur! :(

p/s: Dah lama saya tak menulis sajak panjang. Abang Khairil baca ni mesti dia gelak. Sebab sajak yang panjang biasanya akan jauh menyimpang dan lari dari tujuan. Dan terbukti dalam sajak ni pun macam bersimpang-siur. Tak gitu, sifu? Heheh. Sila beri tunjuk ajar ye pada saya yang suka merapu ni =)


Walang Hati

Walanglah sudah hati
mengusung bayang sendiri
menjinakkan rajuk
yang meredam dalam
berlipat dalam diam
tersemat bekal buat azimat
memaku biarku kuat.

Raunglah sudah hati
azimat tak terpujuk
menangis lagilah aku
bulan pun diam malas melagukan
bintang pun kelam malas menyairkan.

Rajuklah terus hati
diam sendiri
senyum masih lagi berbaki
tangis
masih belum kering lagi.

Sarah Mohd Shukor
9 Jun 2008
Kamar 205, 5.53 pagi


Sedihnya... Sampaikan sepanjang malam saya hanya mendengar lagu Dara Pujaan dendangan L. Ramlee sampai boleh menangis. Kenapalah boleh jadi macam ni pula ye. Kalau dah sedih, buat apa tahan tangis, kan... Oh. Gambar karikatur ni comel. Orang merajuk macam ni ke? Terima kasih Pakcik Google. Saya pinjam letak kat sini ye. Sesuai temanya. Hati orang sedang walang.


June 5, 2008

Sepersalinan

Yang putih
buat terima akad
biar berkat terikat
buat terima mahar
biar kasih mekar

Yang biru
persalinan di raja
lengkap dengan kerisnya
persalinan puteri
lengkap inai di jari

Lafaz dijanji dengan nama-Nya
Bersaksi menjaga maruahnya di dunia
Bersaksi meneman dirinya ke sana

Mahar disambut dengan senyum
Redha terima pimpinan darinya
Redha meneman dirinya ke sana

Ada air mata kesyahduan
Ada juga
Air mata kehilangan

Sarah Mohd Shukor
5 Jun 2008
9.26am
(sebelum ke klinik)
-Khas buat Faaiqah dan Saufi-

June 2, 2008

Di Bulan Jun Ini


Jun datang
aku ingin pulang
ke tanah bendang itu
bertemu cintaku
langkah batas-batas sawah
kejar pipit-pipit terbang
nyanyi lagu-lagu alam
bersama dia
di bulan Jun
menebar rindu biar terungkai
mengikat janji biar termeterai

-Sarah Mohd Shukor-
2 Jun 2008
7.10pm
*koya baru lepas makan ubat*

Rancangan masa cuti:
Balik kampung
Pergi Perak
Pergi Perlis
Pergi Kelantan
Pergi Bangi
Pergi **** dengan Nan
Pergi cuti-cuti Malaysia dengan keluarga
Pergi William dengan Kak Inah
Pergi Aquaria insya Allah :p

Exam belum habis, cuti dah terancang. Nasib baik beg belum dikemas. Hihi..