July 17, 2008

Ada Satu Rasa

(Hadiah buat Abang Khairil dan Kak Salwa)

Erm... Masih ingat sajak Ada Satu Wajah? Kalau lupa, semak dulu sajak itu. Ada Satu Wajah membawa persoalan hati yang sedang mencari tempat hendak berlabuh, mencari wajah yang boleh dicinta kasih. Dan sajak ini jawapan kepada persoalan itu...


Ada satu rasa
yang selalu di dalam hati
tetapi rasa itu terlalu dalam
untukku selam memahami.

Ada satu rasa
sentiasa menjadi bara
melingkari segenap jiwa
bertiangkan firasat dan hati
yang telah tahu jawapan
soalnya siapa gerangan.

Ada satu rasa
menjadi penggerak hari
bagai izzah kasih dari Ilahi
buat aku terus kuat
sungguh dia jauh
untungnya terasa dekat.

Ada satu rasa
hidup melubuk di dalam jiwa
masih ampuh dikata jangan
kerana kurasa itulah jawapan
kembaraku teroka fitrahnya insan
untukku pasakkan doa harapan
bertemunya dua jasad itu
dalam rasa yang satu.


Ada Satu Rasa saya tulis pada Januari lepas tapi sengaja saya peram dan tidak diletakkan di blog ini mahupun dikongsikan kepada siapa-siapa. Kenapa? Kerana saya rasa sajak ini istimewa walau tak seindah mana. Rupa-rupanya Allah mahu saya hadiahkan sajak ini buat kalian berdua yang kedua-duanya punya signifikan yang tersendiri dalam hidup saya. Selamat mendirikan rumah tangga. Barakallahu lakuma.


Sarah Mohd Shukor
23 Januari 2008
Moscow City, RF

July 7, 2008

Mawar

Lembut kelopaknya,
Harum tiada tara,
Indah nian rias,
Terang warna bias.

Namun tak sempurna jua-
Duri-duri tajam lasak,
Tak bisa dibawa bersajak,
Kian mawar tumbuh,
Kian tajam durinya utuh.

Namun masih juga menawan,
Terpikat hati bila memandang,
Walau duri bersama batang.

Umpama manisnya hidup dan cinta,
Juga punyai duri yang bisa melukakan kita,
Namun janganlah takut hidup dan bercinta,
Kerana,
Hidup tak terkecuali juga,
Dari menerima luka dan duka,
Bersakitlah buat sementara,
Bersenang nanti di hari muka.

Maka petiklah mawar,
Walau jari pilu terluka,
Dibawa berhias cantik juga.

July 6, 2008

Oda Bumi Kirana

Waktu badai menghampar jalurnya,
Dua nakhoda mengorak bahtera,
Tangkas menyusur di arus dunia,
Bisa menyapa seribu cetera,

Deruan langkisau revolusi ketiga,
Menerjah,
Menendang selaut manusia,
Ke sari halaman bumi kemajuan,
Di sana,
Tenang mengalir redang kehidupan,
Gah berdiri pepohon pembangunan,
Berakarkan sains,
Berumbikan teknologi,

Berteduhkan silara,
Sains vital, teknologi utama,
Bani insan merintis panca kejayaan,
Singkap dan saksikanlah!
Di laut menoda galian,
Di kota melarik binaan,
Di sekolah mencanai ilmuwan,
Di hospital penyakit kecundang,
Di ladang menyubur tanaman,
Negara dilingkari pembangunan,

Berbumbungkan atap kemodenan,
Teguh berceracak KLCC gagah,
Luas terbentang KLIA megah,
Panjang melingkar jalur jalanan,
Berpusatnya insan di Litar Sepang,
PWTC saksi pemimpin lantang,
Krisis pneumonia berjaya dilawan,
Dek kemujaraban teknik perubatan,
Membawa kemakmuran ke serata alam,

Bersulamkan, berjalinkan,
Sains semasa teknologi perdana,
Wasilah ditekat serata benua,
Internet megah membelah buana,
Lingsir IT di balik awan,
Terbitnya ICT pelangsung zaman,
Mencapah ilmu membias ajaran,
Menepis si dangkal mencelik si buta,
Moga-moga,
Kelopak minda mekar berkembang,
Membingkis kemajuan bangsa harapan,
Dedaun sintaksis, hijau bergalang,
Membangun negara di alur keamanan,

Berlabuhlah bahtera di jidar kirana,
Menjalin petala serumpun bangsa,
Pasrah berdua melaram empayar,
Hingga akhirnya,
Akurlah sudah si jagatraya,
Akan kemulusan dua nakhoda,
Mengemudi bahtera ke lembah jaya,
Demi zahirnya,
Sains semasa, teknologi perdana,
Wahana pembangunan serata negara.

Hafizuddin Awang
4 Ammar
MRSM Pengkalan Chepa
Tahun 2003

Bosan duduk bersahaja di rumah (di Malaysia ketika ini), sempat saya mengekplorasi karya2 yang pernah saya nukilkan di sekolah menengah dahulu. Di atas adalah salah satunya. Sajak ini saya karang ketika berada di tingkatan 4 Ammar MRSM Bitara Pengkalan Chepa. Sajak ini dibuat khas sempena Pesta Type III peringkat MRSM PC bertemakan Sains dan Teknologi Wahana Pembangunan Negara. Agak amatur langgam bahasanya (sekarang pun masih amatur sebenarnya..hehe).

June 28, 2008

Ubat Seribu Jiwa

Dalam suram senja di Keleti Pu
Budapest sendu bermandikan zikir
bergetar hening suara Panglima
melaut gemanya di kota ini
memecah tradisi Budha dan Majusi
mengerah segenap yang bernyawa
kembali pada fitrah buat seketika
tuntutnya menjadi yang tepat waktu
mengejar untung
mengenal Yang Satu
membuang jauh segala nafsu
gemanya lantang beramaran
juga amarah buat si syaitan
suara Panglima tetaplah juara
juara menuba hati batu
ragut dunia mengingat Si Agung
dalam syahdu
Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar!

Sarah Mohd Shukor
Budapest, Hungary,
20 Jun 2008

Saya menulis ini ketika dalam perjalan meninggalkan Budapest menuju ke Bratislava. Cuaca suram seperti senja sedangkan hakikat hari masih petang. Saya terlihatkan kelibat masjid ketika dalam perjalanan dan kebetulan di TV ditayangkan filem The Bodyguard (lakonan Whitney Houston). Terdengar lagu Run To You. Saya teringatkan seorang kawan. Jadi, 'tertulislah' sajak ini. Sekadar untuk diinsafi bersama, tentang solat di awal waktu. Jika di Moscow, kadang kala ada halangan untuk dapat solat di awal waktu. Masih di hospital atau sedang berada dalam perjalanan pulang (bagi waktu Zohor dan Asar). Tapi sejak balik bercuti, tiada masalah rasanya untuk sentiasa solat di awal waktu tapi saya akui di saat tiada halangan nyata untuk menunaikannya, saat itulah halangan batin menjelma. Kadang kala, terasa geram dengan diri sendiri kerana mengutamakan benda remeh lain termasuklah hendak menghabiskan kartun yang ditonton sehingga tepat jam 5 baru hendak solat Asar. 2 hari lepas, saya terlihatkan adik saya, Aiman, bergegas mengambil wudhuk sebaik azan dilaungkan. Kagum saya melihatnya. Sebaik azan tamat, dia terus masuk ke biliknya dan solat. Dalam hati saya berdoa. Kekallah dia begitu sampai bila-bila. Amin. Peringatan buat diri saya, saya sebolehnya akan sentiasa solat di awal waktu, sebaik selepas azan, selagi tiada halangan mendatang, insya Allah. Doakan saya istiqamah.

Aku Bayang-bayang

Aku bukan Shah Jehan
bisa bina Taj Mahal indah buatmu
lalu bersyair di jendela
menyatakan syahdunya cinta
beralun desirnya suara rindu
menambat hati Sang Ratu.

Kerana itu bukan aku
lalu kupinta padamu
izinkan aku menjadi duniamu
membawa ria di setiap waktu
menghapus segenap titik sendu.

Kerana itu bukan aku
kiranya tak sudi kau lihat wajahku
maka berikanku peluang
menjadi bayang-bayang
bersenggang denganmu ku tak mampu
dibenci dirimu ku tak mahu
gerakku di sampingmu di siang hari
tidurku mendampingmu di kala dini
aku di sisi
tak kulari pergi.

Sarah Mohd Shukor
Budapest, Hungary,
20 Jun 2008

Huhu. Ini sajak yang buat tekak saya meloya :p Saya tulis selepas mandi sementara menanti waktu Subuh ketika di Budapest. Punyalah penat ketika tiba di sana. Saya tidur tanpa mandi pun. Terbangun jam 2 lebih barulah saya mandi dan alang-alang Subuh masuk jam 3 lebih, sempat saya menulis sajak ini kerana teringatkan kata-kata dalam filem Head in the Cloud dan kebetulan kerana terpandangkan bayang-bayang sendiri dalam cahaya suram bilik. No offense. Saya akui sajak ini meloyakan =)

June 25, 2008

Jauh (vi)

Merenung hijaunya Sungai Slowakei
di puncak istana lama Bratislavsky
di terik panas musim gandum menguning
ada hati basah
berair mata perit
mengingat kasih yang jauh
mengenang kasih yang putus
adalah hati itu sungguh setia
adakah ini nasib seadilnya?

Sarah Mohd Shukor
Bratislava, Slovakia,
21 Jun 2008

Jauh (v)

Bawah langit biru
awan putih gebu
tanah tinggalan Maria Theressa
menyaksikan
aku menangis lagi
mengingat dia
yang tak sudi
berkongsi kasih
denganku lagi.

Jangan ditegur air mata itu kenapa.
Biar tangisan itu ditinggal tanpa jawabnya.

Sarah Mohd Shukor
Bratislava, Slovakia,
21 Jun 2008

Jauh (iv)

Yang jauh
yang itu aku
rindu,
mahu.
Yang sungguh aku
ingat,
sangat.
Yang buat aku
tangis,
sedih.
Yang tidak aku mampu
harap,
kasih,
lagi.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008

Jauh (iii)

Segalanya sudah
aku pasrah
dilayan rajuk berairlah mata
dilayan sedih berdurjalah dunia
sungguh, aku redha
yang jadi ada hikmahnya.
Jauh,
inilah nasibnya.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008

Jauh (ii)

Tapi apa makna
kasih atau derita
kiranya
curiga sentiasa ada
gelapkan hatiku buta
saat jauh dari mata.

Bagimu ini biasa
Bagiku tidak betah.

Sarah Mohd Shukor
Brno, CZK,
19 Jun 2008