December 12, 2009

Kisah Kini

Oh, maafkan kami,
anda bertandang ke sini,
yang ada cumalah sunyi,
menyambut dengan rendah hati.

Dahulu hingga kini,
minat kami tidakkan mati,
tapi masa sukar dicuri,
walau untuk sebaris puisi.

Syukur pada Ilahi,
KS berpangkat doktor kini,
bertimbun kerja saban hari,
ke sana ke sini berlari-lari,
bagai esok sudah tiada lagi.

Dan aku masih di sini,
sentiasa menghitung hari,
menanti setahun lagi,
menunggu hari graduasi,
dan pulang ke tanah pertiwi.

Persoalannya kini,
Antologi Dunia relevankah lagi?


Kasihan saya tengok blog ini. Hidup segan, mati tak mahu. Apa susah, merapu sajalah bagi mengisi hiatus ini. hehehe =p

April 25, 2009

Musim Bunga Moscow


MOSKVA di musim bunga,
jadi kota yang sempurna,
tempat idaman semua.

Kuntuman tulip di laman Kremlin
jadi gamitan pencinta seni.
Harum nian bunga-bunganya
jadi ikatan pasangan bercinta.

Siang musim ini yang panjang,
diserikan jeritan dan hilai riang,
kicau burung dan unggas taman,
tari joget pemuda dan perawan.

Silau mata memandang
akan sinar dan bahang suria,
berlatar langit biru damai,
menyerlahkan kehijauan pohonan
dan citrawarna kubah-kubah katedral.

Tenang mengalir reka Moskvi,
jadi susuran kapal menghilir.
Penuh orang di pinggir air,
bila taman Gorki bernyawa kembali,
setelah lama digenangi salji.

Gegak gempita satu kota
dengan karenah manusia,
meriah lapangan merah
dengan pelawat dan peniaga,
dari Fabergé hingga matroshka
segalanya ada sedia diniaga,
benderang malam-malamnya
bermandikan kilauan lentera.

Sungguh musim bunga,
lambang kehidupan,
harapan dan cinta.

Hafizuddin,
Musim Bunga 2009, Moscow.

April 20, 2009

Dinamika Hidup

Hidup, dengan hati berat-terikat

bagai angin tak reti bertiup
air tak reti mengalir.
Terpekung menadah sisa-sarat
menuntun hidup penuh darurat.

Hidup, kalau dibiar indah
ada yang dengki, datang membenci
tangan tak hulur, mulut memaki.
Yang berat lagi membeban
yang terikat lagi bersimpul.

Inikah manusia?
Datang dengan hasad
pergi dengan suka?
Alasannya:
“Oh, aku terlupa.
Maafkan aku.
Akukan manusia.”

Angin dibiar hentap
lama-lama berkepam.
Air dibiar bertakung
lama-lama membusuk.
Lepaskan mereka
Hidup lebih bahagia tanpa ini semua.

Cari angin yang kuat
air yang deras
hidup dihempuk asakan
ubatnya pada nyaman dan segar.
Sehabisnya, dinamika itu ada.
Lebih baik begini.


Sarah Mohd Shukor
20 April 2009
16-205, Bolshaya Piragovskaya.

April 19, 2009

Haiku For You

For the air you spray into me
Lessen the tightness
You set me free.

Selfless, I return to you
One I, and only one you.
No word could you doubt me
The heart is no empty.

Haiku, in all I shall tell you
You rhyme in my pace
setting me into peace.
Haiku for you.
Mysara, the lovely you.

-a-

March 20, 2009

Bila Tuhan Katakan Jadi

Wahai jasad yang lembut jiwanya
kau secanting hajat di hati bonda
penggalas doa garapan ayahanda
moga menjadi yang tangkas akalnya
memekar hati bertuankan Tuhan
memutik diri berperikan iman.

Bila Tuhan katakan jadi
kau senyum persis bidadari.
Bidadari resminya tidak mengguruh
sungguhpun dunia menyalak lagu-lagu neraka.
Kau memilih jalan payah
membutuh kasih akhirat
hiba menadah tangan
menolak jelaga-jelaga ria
mendepang mencari syurga
dalam debu dunia berkusta.

Wahai jasad yang cantik akhlaknya
kau sebuah kisah indah harapan agama
mengibar mujahadah dalam susah
menghidang batin membela ummah
tidak lurut dek teriak-teriak gundah.
Bidadari resminya tidak berundur
sungguhpun langit runtuh diasak dunia
kau leka menadah harap
mendidik hati menjadi kuat
untuk meludah keparat.
Kau memohon tangis-tangis dari syurga
yang sayup mengaminkan
doa-doa bahagia buat dunia seisinya.

Bila Tuhan katakan jadi
bertasbih Jibril, bersujud penghuni langit
muncul suri hiasan dunia
pencinta jalan Tuhan
jalan bahagia
kau bidadari istimewa lakaran-Nya.


Siti Sarah Binti Mohd Shukor
Metro Kashirskaya
6 Mac 2009

Nota: Macam tak percaya, sajak ni menang pula pertandingan sajak sempena Sambutan Hari Wanita 2009 di Moscow. Alhamdulillah. Tapi jujurnya, bagi saya sajak ni sangat biasa saja. Tiada yang luar biasa.

January 27, 2009

Kau Keharumanku Yang Indah

Pada pagi-pagi yang menyinsing
pada malam-malam yang hening
adalah kau matahari
adalah kau bulan bersemi
juga seluruh detik masa
antara keduanya.

Aku takkan mampu
membawa satu tamsilan.
Atau menggubah sesuatu
untuk kubuat bandingan.
Kalau itulah kejayaanku
maka itulah kejahilanku
kerana mencipta kau yang kedua
tak tertanding pada kau yang sedia.

Kerana kau lembut budi, sopan diri,
senyum manis, luhur terpuji.
Kerana kau berani berdiri, teguh sendiri,
diam bernyawa, riuh berjiwa.
Kerana kau keharumanku yang indah
kerana kau sahabat yang setia.

Wanie-KS

Nota 1: Selamat hari lahir, Wanie! (26 Januari)

Nota 2: Maksud Shazwani ialah keharumanku.