March 20, 2009

Bila Tuhan Katakan Jadi

Wahai jasad yang lembut jiwanya
kau secanting hajat di hati bonda
penggalas doa garapan ayahanda
moga menjadi yang tangkas akalnya
memekar hati bertuankan Tuhan
memutik diri berperikan iman.

Bila Tuhan katakan jadi
kau senyum persis bidadari.
Bidadari resminya tidak mengguruh
sungguhpun dunia menyalak lagu-lagu neraka.
Kau memilih jalan payah
membutuh kasih akhirat
hiba menadah tangan
menolak jelaga-jelaga ria
mendepang mencari syurga
dalam debu dunia berkusta.

Wahai jasad yang cantik akhlaknya
kau sebuah kisah indah harapan agama
mengibar mujahadah dalam susah
menghidang batin membela ummah
tidak lurut dek teriak-teriak gundah.
Bidadari resminya tidak berundur
sungguhpun langit runtuh diasak dunia
kau leka menadah harap
mendidik hati menjadi kuat
untuk meludah keparat.
Kau memohon tangis-tangis dari syurga
yang sayup mengaminkan
doa-doa bahagia buat dunia seisinya.

Bila Tuhan katakan jadi
bertasbih Jibril, bersujud penghuni langit
muncul suri hiasan dunia
pencinta jalan Tuhan
jalan bahagia
kau bidadari istimewa lakaran-Nya.


Siti Sarah Binti Mohd Shukor
Metro Kashirskaya
6 Mac 2009

Nota: Macam tak percaya, sajak ni menang pula pertandingan sajak sempena Sambutan Hari Wanita 2009 di Moscow. Alhamdulillah. Tapi jujurnya, bagi saya sajak ni sangat biasa saja. Tiada yang luar biasa.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah...!
Tak hairan boleh menang. memang patut pun =)
-FahdRazy-

Fairpark Boy said...

agak hebat sebenarnya. ikhlas.