August 30, 2008

Monolog Anak Merdeka

Merdeka itu
kisahnya berdarah
mayat bersepah
laung rakyat penuh amarah
British menjajah
Jepun meludah
Komunis melapah
pada pertiwi yang cekal
kala dahi ditunjal-tunjal.

Merdeka itu
datangnya bukan senang
datang bukan kerana dagang
carik-carik surat dilayang
orang tak dengar, tak pandang
lagi dihina katanya Malaya ini belum matang.

Merdeka itu
cerakin ilmu si pemimpin pertiwi
penuh diplomasi
canai integrasi
disuruh emosi letak ke tepi
demi maruah, ego meninggi
demi merdeka, sepakat termetrai.

Merdeka itu
lahirnya bukan mudah
pertahan berganda payah
semakin zaman berubah
semakin sejarah dimamah tanah
semakin kita gah
semakin kita pandang renyah
pada hartanya merdeka
pada hartanya jiwa bangsa
pada hartanya bebas suara
pada hartanya bangsa kita!

Merdeka itu
boleh luput
andai,
diri dinyah-patriotismekan
jiwa dijajah idealis moden syaitan
bangsa dituba sumpah sesama insan.
Andai,
pembelot dinomborsatukan
kesatuan dinomborduakan
dan Tuhan di buang dari ingatan.

Merdeka itu
kita coret tatkala kita masih di bawah.
Mahukah,
ia hilang setelah angkasa berjaya kita cecah?


Sarah Mohd Shukor
30 Ogos 2008
Moscow, Rusia.


Assalamualaikaum wbt

Sara hidupnya sangat tinggi. Orangnya kurang budi. Budayanya tak kenal erti murni perempuan lelaki. Agamanya sekadar berbasa-basi. Tak sempurna pada mata saya, serba-serbi. Inilah Kota Moscow, kota wang ringgit dan modenisasi.

Bahasanya tak mesra. Egonya menyinga. Santunnya memang tiada. Pantang dicabar, meninggilah suara. Inilah bangsa Rusia. Tidak mengaku kepada lemah. Dengan kelebihan pastilah dimegah.

Bunyinya saya seperti membebel. Tapi, bukan itu hajatnya. Cukuplah apa yang tersurat di atas sudah membuktikan hujan emas di bumi orang, hujan batu di bumi sendiri. Sungguh Malaysia itu tanah yang cocok dan sempurna buat jiwa Melayu-Islam saya ini.

Dan jujurnya, antara yang paling penting untuk dipertahankan oleh kita pada hari ini ialah Bahasa Melayu dan adat bangsa kita. Tanpa bahasa, kita tiada wajah. Kalau pula bahasa itu diceroboh, buruk huduhlah wajah kita ini. Adat bangsa kita adat orang beradab. Lembut di luar tapi jati di dalam. Kalau pula hilang adat orang beradab ini, tiada guna lagi kita berdiri atas nama seorang Melayu.

Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-51 buat Malaysia. Semoga maruah agama, negara dan bangsa kita sentiasa dalam lindungan-Nya.

6 comments:

Anonymous said...

Lembut di luar tapi jati di dalam. Kalau pula hilang adat orang beradab ini, tiada guna lagi kita berdiri atas nama seorang Melayu. - Terbaik!

Anonymous said...

hakikat.

snm | snm said...

Salam sarah
Saya tak tahu kenapa, tahun ni sambutan ke-51 Malaysia bagaikan hambar, sunyi sepi. Tapi, bagus juga keadaan seperti ini. Makin kuranglah bayi kecil tidak berdosa yang dilahirkan atau dibuang.

Anonymous said...

Falin:
sy pun rasa hambar. tambah2 plak satu negara tgh tumpukan perhatian utk by election di permatang pauh tu kan. harapnya, erti merdeka tu semua hayati dlm diri masing2. tp argghhh... sy tgk budak muda skrg ni ntah hape2 je. emo ni. huhu

Anonymous said...

yela..sy rs pun cmtu..bertumpu pd permatang pauh (erm..buat mbazir duit rakyat, allocate fulus ke situ, blm tahu menang@kalah..)

sarah..ktk umur saya 19..saya pernah cuba utk pergi celebrate merdeka kununnye di klcc..for the first time in my life..slps itu, saya berjanji dlm diri utk tidak pergi lg..klu pergi pun, dgn FAMILY & SUAMI (klu dh nikah yek :p)..

ok saya pergi dan pulang dgn rasa TERKEJUT..mmg saya ddk serdang, tp sy x pernah tahu DUNIA LUAR YANG TERAMAT CANTIK (katanya..)..mcmni kah namanya merdeka?jika tangan di kiri pegang air kekuningan smbil jerit MERDEKA!!

snm | snm said...

Cik Sarah!!
saya dah baca sajak awak
yg masuk paper harini :)

tgk nama je pun dh tau :)