Erm... Masih ingat sajak Ada Satu Wajah? Kalau lupa, semak dulu sajak itu. Ada Satu Wajah membawa persoalan hati yang sedang mencari tempat hendak berlabuh, mencari wajah yang boleh dicinta kasih. Dan sajak ini jawapan kepada persoalan itu...
Ada satu rasa
yang selalu di dalam hati
tetapi rasa itu terlalu dalam
untukku selam memahami.
Ada satu rasa
sentiasa menjadi bara
melingkari segenap jiwa
bertiangkan firasat dan hati
yang telah tahu jawapan
soalnya siapa gerangan.
Ada satu rasa
menjadi penggerak hari
bagai izzah kasih dari Ilahi
buat aku terus kuat
sungguh dia jauh
untungnya terasa dekat.
Ada satu rasa
hidup melubuk di dalam jiwa
masih ampuh dikata jangan
kerana kurasa itulah jawapan
kembaraku teroka fitrahnya insan
untukku pasakkan doa harapan
bertemunya dua jasad itu
dalam rasa yang satu.
Ada Satu Rasa saya tulis pada Januari lepas tapi sengaja saya peram dan tidak diletakkan di blog ini mahupun dikongsikan kepada siapa-siapa. Kenapa? Kerana saya rasa sajak ini istimewa walau tak seindah mana. Rupa-rupanya Allah mahu saya hadiahkan sajak ini buat kalian berdua yang kedua-duanya punya signifikan yang tersendiri dalam hidup saya. Selamat mendirikan rumah tangga. Barakallahu lakuma.
Sarah Mohd Shukor
23 Januari 2008
Moscow City, RF