October 30, 2008

Salam Buat Mogadishu

Kepada Rohaa,
Apa kucatat ini satu khabaran gembira.
Aku kini lulus berjubah putih,
pangkatku baik, pasti jerih berbalas sengih.
Aku kini boleh pulang,
terbang merentas alam, pulang ke sarang.
Kau tunggu aku di sana,
aku rindu senyum tawa kita,
dalam pondok usang baringnya Nenek Husnaa.
Aku rindu batuk kokol si tua itu,
masihkah dia ada?
Syafakillah buatnya dari benua Asia.

Usah khuatir, Rohaa.
Aku pulang sebagai aku yang sama.
Cuma aku bukan seorang.
Bersama pasukan hulubalang terbilang.
Misi kami di Mogadishu hanya dua:
Rawati semua, ubati jiwa.
Juga pulihkan maruah agama.

Moga-moga,
tiada lagi melarat sakit,
kuranglah batuk-batuk pedih itu,
yang buat ulu hatiku menangis
melihat orang kita derita, mati, dihina
dan diseksa.
Aku pulang nanti
untuk membasuh kota Mogadishu.


Sarah Mohd Shukor
30 Oktober 2008
Ptisiopulmonology Hospital,
Kota Moscow, Rusia.

Sajak ini ditulis kerana terkesan dengan mangsa Tuberculosis yang tidak pernah berkurang di bumi Somalia. Kadar kematian adalah sangat tinggi di sana terutamanya di bandar-bandar kecil tempat bertumpunya penduduk yang beragama Islam. Bantuan antarabangsa yang tiba di sana adalah terhad daripada WHO dan sebuah NGO Kristian daripada Amerika saja. NGO Islam seperti FIMA di manakah mereka? Semoga ada penyelesaian yang lebih baik di hari muka.

Nota: Saya semakin ketandusan idea untuk menulis. Saya rasa kosong. Apa yang saya tulis kebelakangan ini tiada jiwa. Pertamanya mungkin kerana saya kurang membaca tulisan-tulisan bestari para penulis profesional semenjak sebulan ini kerana tuntutan studi yang padat setiap hari. Keduanya mungkin kerana saya semakin tidak kreatif. Sebetulnya, saya memang tidak pernah menulis dengan baikpun selama ini. Saya kena caj kuasa dalam diri saya ni agaknya. Semoga berjaya!



October 21, 2008

Terima Kasih Cinta

Terima kasih hati
kerana tabah atas musibah
dan jalan payah
dalam gugusan kisah sejarah
tatkala kami bernama kita.

Terima kasih mata
atas suaman rasa
simpati meminjam selesa
dalam mengadun sepelaung suka-duka
kisah kami namanya kita.

Terima kasih pena
menjadi kawan bercerita
asbab utama terluah segala
dalam menulis apa kisahnya
semasa kami masih kita.

Terima kasih cinta
berkongsi dua hati
menatap empat mata
berkasih atas pena
melakar satu rasa
sepanjang kita bernama kita.

Walau kini tiada kita
hati, jangan kau rindu.
Mata, jangan kau nangis.
Pena, jangan kau tulis.
Cinta kami sudah tiada
berpisah hujung nyawa.
Terima kasih jiwa
kerana menyimpan nama cinta.


Sarah Mohd Shukor
21 Oktober 2008
Musim Luruh, Moscow