August 30, 2008

Monolog Anak Merdeka

Merdeka itu
kisahnya berdarah
mayat bersepah
laung rakyat penuh amarah
British menjajah
Jepun meludah
Komunis melapah
pada pertiwi yang cekal
kala dahi ditunjal-tunjal.

Merdeka itu
datangnya bukan senang
datang bukan kerana dagang
carik-carik surat dilayang
orang tak dengar, tak pandang
lagi dihina katanya Malaya ini belum matang.

Merdeka itu
cerakin ilmu si pemimpin pertiwi
penuh diplomasi
canai integrasi
disuruh emosi letak ke tepi
demi maruah, ego meninggi
demi merdeka, sepakat termetrai.

Merdeka itu
lahirnya bukan mudah
pertahan berganda payah
semakin zaman berubah
semakin sejarah dimamah tanah
semakin kita gah
semakin kita pandang renyah
pada hartanya merdeka
pada hartanya jiwa bangsa
pada hartanya bebas suara
pada hartanya bangsa kita!

Merdeka itu
boleh luput
andai,
diri dinyah-patriotismekan
jiwa dijajah idealis moden syaitan
bangsa dituba sumpah sesama insan.
Andai,
pembelot dinomborsatukan
kesatuan dinomborduakan
dan Tuhan di buang dari ingatan.

Merdeka itu
kita coret tatkala kita masih di bawah.
Mahukah,
ia hilang setelah angkasa berjaya kita cecah?


Sarah Mohd Shukor
30 Ogos 2008
Moscow, Rusia.


Assalamualaikaum wbt

Sara hidupnya sangat tinggi. Orangnya kurang budi. Budayanya tak kenal erti murni perempuan lelaki. Agamanya sekadar berbasa-basi. Tak sempurna pada mata saya, serba-serbi. Inilah Kota Moscow, kota wang ringgit dan modenisasi.

Bahasanya tak mesra. Egonya menyinga. Santunnya memang tiada. Pantang dicabar, meninggilah suara. Inilah bangsa Rusia. Tidak mengaku kepada lemah. Dengan kelebihan pastilah dimegah.

Bunyinya saya seperti membebel. Tapi, bukan itu hajatnya. Cukuplah apa yang tersurat di atas sudah membuktikan hujan emas di bumi orang, hujan batu di bumi sendiri. Sungguh Malaysia itu tanah yang cocok dan sempurna buat jiwa Melayu-Islam saya ini.

Dan jujurnya, antara yang paling penting untuk dipertahankan oleh kita pada hari ini ialah Bahasa Melayu dan adat bangsa kita. Tanpa bahasa, kita tiada wajah. Kalau pula bahasa itu diceroboh, buruk huduhlah wajah kita ini. Adat bangsa kita adat orang beradab. Lembut di luar tapi jati di dalam. Kalau pula hilang adat orang beradab ini, tiada guna lagi kita berdiri atas nama seorang Melayu.

Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-51 buat Malaysia. Semoga maruah agama, negara dan bangsa kita sentiasa dalam lindungan-Nya.