May 31, 2008

Pilihan


Memilih tidak salah
Kalau tahu ke mana arah
Memilih tidak salah
Kalau tidak takut tersalah
Memilih tidak salah
Kalau sanggup menempuh susah

Jangan kerana dilihat puas
Hati jadi buas
Mahu terus dapat dengan pantas

Dalam genggam adanya intan
Tapi kerana kaca dalam lautan
Intan terlepas, kaca menghilang
Diri lemas diterjah gelombang
Berpaling daratnya jauh
Bersampan tiadanya sauh

Diamlah kau di situ
Diikut hati jadilah begitu
Diikut rasa jadilah binasa
Diamlah kau di sana
Fikirlah sebagai dewasa
Fikirlah sebagai pendita!


-Sarah Mohd Shukor-
-Kota Moscow-
31 Mei 2008

May 29, 2008

Saya Gembira! Anda Pula?

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Cepat adik cepat
Cepatlah kita menyanyi-nyanyi

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Cepat abang cepat
Kita menyanyi bersuka hati

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Apa yang abang dapat
Bikin hati ada pelangi

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Adik doakan berkat
Moga pelangi bawa rezeki

Adik: Abang, kenapa lagunya katak?
Abang: Kerana katak mukanya ceria. Adik, kenapa ada kasut?
Adik: Itu doa. Moga abang dapat kasutnya.

p/s: Ha kamu. Tersenyumlah kamu cepat. Kata mahu senyum dan senyum lagi kan. Mari senyum ramai-ramai berjemaah. Saya pun gembira 4 exam sudah berlalu dan semuanya berwarna-warni =) Alhamdulillah.

-Adik Sarah-
Petang Khamis yang panas,
Kota Moscow, Kesatuan Tanah Rusia.
29 Mei 2008





Siapa Melayu

(I)
Lelaki Melayu itu
yang berbaju melayu segak
butangnya lima
agamanya hebat
kerjanya kuat
sifatnya berani
hemahnya tinggi
mahirnya berbudi.

Yang cakap dan benar
yang tutur dan buat
yang janji dan kota.

Maka disempurnakan sebuah kehidupan
dibekalkan mereka pelengkap keindahan.

(II)
Gadis Melayu itu
yang berbaju kurung
butangnya satu
bajunya lurut
kainnya labuh
rambut hitam
sinarnya di dalam.

Yang sifatnya malu
santunnya sipu
senyumnya lembut
tuturnya ilmu
langkahnya gagah
tak mudah mengalah.

Maka diindahkan sebuah kehidupan
dibekalkan mereka untuk menyempurnakan.

(III)
Siapa itu Melayu
bukan kiranya pada belacu
adalah sutera taruhan budi
tatapan sejagat insani.

Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
28 Mei 2008

Nota: Saya bukan dalam mood jiwang tau =)

May 27, 2008

Sukar

Sukar mencari angin yang tenang,
Bukan langkisau bukanlah taufan,
Menghembus harum cempaka setaman,
Memuput awanan ke petala atasan.

Sukar mencari langit yang terang,
Langit biru cerah cemerlang,
Mampu kiaskan ilham kebebasan,
Bagai burung selangit terbang.

Sukar mencari malam yang aman,
Malam tenteram tanpa gangguan,
Jadi alas kenali keinsafan,
Lantas mengenal erti bertuhan.

Sukar mencari taulan sempurna,
Bukan cendala bukan pendusta,
Orang setia berbudi bahasa,
Hidup disayang matilah jangan.

Tafsiran:
-langkisau : angin keras dan tidak menentu haluannya
-cendala : orang yang hina,keji atau buruk

Judin08.
-kala bulan exam-

May 26, 2008

Terlanjur Menangis

Menatap contengan krayon lama
pudar usang
terlakar aku, Papa dan Mama
mata bergenang
Mama mampir memberi peluk hangat
aku terlanjur menangis
bukan tidak kuat
cuma rindu berjalan dipimpin Papa
cuma rindu berbuai dihayun Papa
cuma rindu ketawa diusik Papa
aku terlanjur menangis
rindukan Papa di sana.

Papa,
tunggu aku berziarah ke syurga
lagi baiknya kita sem
ua berhimpun di sana.

Terlanjur menangis
Fatihah kutitip hadiah dari bumi fana
Mama menunduk
terlanjur menangis sama.


Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
24 Mei 2008

May 16, 2008

Zikir Panglima

Penuhkan hatimu, anakku
Halamu bukan dunia
Kiranya yang kejap bukan di sini
Tapi di sana ada menanti
Pinggulmu bergerak bukan nan setapak
Rentak disusun sedia meruntun
Laksana hidup seribu tahun

Semat biar kemas-lekat di jiwa
Impimu bukan menggarap raja
Berguru bukan kepalang ajar
Memburuh bukan sebarang hina
Adalah hatimu mencari ilham Mualim Anwar
Biar cerah hati
Biar peri tak jahil

Aku cuma Panglima Hikayat
Bukan Megat, bukan Jebat
Ranggilah anakku kerana bertuhan
Ulungnya dirimu dek Islam dan iman

Hai anak!
Simpan ini pesan
Semat biar kemas-lekat di jiwa
Adalah hatimu mencari ilham Mualim Anwar


Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
15 Mei 2008
1.55 am

Cukuplah Allah Bagiku

Biar sengsara meneman nasib
menjerih kelana anak dagang
di Bumi Tsar yang berpalit
menuli hati jadi gersang
bila hajat dituankan
bila jagat dibetakan.

Aku pohonkan kuat
kiranya kelesa membuatku hina.
Tak kupohonkan senang
kiranya susah membuatku tabah.
Dan kupohonkan restu
cukuplah Allah bagiku.


Tesaurus: kelesa ; adjektif ; lemah


Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
11 Mei 2008

May 4, 2008

Mimpi di Kota Bethlehem

Mimpinya sekerat
Ada episod anak menangis
Lihat rumah rebah
Ayah dipukul berdarah-darah
Emak pula disepak-sepak
Bethlehem kini berdebu dahsyat
Kerana adanya keparat kota
Jaguh hingusan dunia

Mimpinya diragut
Pada malam yang pekat
Dia bangun bersama bintang-bintang
Bertemankan tasbih bulan
Untuk bertemu Tuhan

Doanya satu dan jitu
Mencabar si keparat kota
Bebaskan Palestin!
Kita lihat siapa jaguh di akhirat sana!


Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF