January 28, 2008

Dia Pengembara

Dia memang tampan
Lebih indah daripada menawan
Rautnya tenang malam
Matanya redup diam
Rahsianya penuh sejuta
Senyumnya penuh makna

Kenalilah dia
Kerana dia seorang pengembara
Yang masih seorang
Yang belum punya sarang
Untuk dia pulang

Kenaliah dia seorang pengembara
Yang jiwanya sejuk
Juga bersih seperti salji
Mencari saingnya
Untuk berhati mengelilingi

Kenalilah dia
Dia pengembara
Yang terasa jauh
Tapi sentiasa bersama


Buat dia,
Si Pengembara Muda.

January 3, 2008

Sabut Di Tengah Laut

Ada sabut
Separuh kusut
Terbiar hanyut
Di tengah laut
Ditampar ombak tidaknya ke tepi
Dipukul angin tidaknya jauh melari

Kisahnya si sabut membawa diri
Hingga hanyut di bawa pergi
Tenggelamnya tidak kerana kuat
Melawannya tidak kerana tak cukup hebat

Kisahnya si sabut dibuang orang
Dicampak ke laut bersama si parang
Tempurungnya dibakar menjadi arang
Parang tenggelam, sabut berenang

Tangan membuang menyorok diri
Takutkah diri dituduh menzalimi?
Lantas berdiam terus
Tanpa sebarang suara mahu bertanya
Apa khabar si sabut di laut sana?
Kuyupkah atau tenggelam sudahnya?

Sabut terus hanyut sendiri
Sendiri biar bayu bawa diri
Terima kasih pada si camar
Yang hinggap menemankan
Lalu terbang meninggalkan
Terima kasih pada si umang
Yang datang mendampingkan
Lalu terjun mencari cengkerang

Sampailah sudah kuatnya tiada
Akhirnya si sabut mencari muara
Lumpur mengalukan, bakau bersorakan
Si sabut datang menjadi teman
Saling menumpang kasih
Saling bertolongan
Si sabut kuat di situ
Biarpun arang tempurungnya
Terkubur jauh beribu batu

Di muara ini rumah baru sabut itu
Di muara ini sabut itu bertemu sesuatu
Si nipah yang mahu tumpang meredup
Si nipah yang buat sabut terus hidup