Aku dilamarmu
Tanda setuju
Kata hati dan aturan tuhanmu
Tertulis di Luh Mahfuz
Akulah bakal isterimu
Telah aku lalui jua
Saat kau datangi hidupku dengan lafaz syahadah
Bekal katamu buat harungi dunia
Juga pasak kehidupan kita berdua
Lalu dengan itu aku terima
Kau datang dengan penuh adanya
Kerana kau suamiku
Habibi jiwa pundak aku letak segala
Bait kita kau hamornikan
Basah lidah alunan Al-Quran
Harum indah bagaikan di taman khayalan
Cinta kita kau asyikkan
Kenalkan aku lebih dengan tuhan
Aku senang, kerana itulah idaman
Untuk hidup dan mati di atas landasan
Senyummu melerai simpul di hati
Susahmu mendurja sengsara nafsi
Sedihmu membasahi pipi ini
Marahmu mengundang pilu segenap nadi
Lalu aku persiapkan diri
Dengan hiasan muslimah solehah
Agar kau tenang melepas lelah
Kerana aku mendokong syariah
Pendamping tatkala kau senang dan payah
Urusanku kau permudah
Jemuranku kau persudah
Masakanku kau jamah
Demamku kau demah
Sakitku tiada lemah
Kerana pasti akan tersedia
Nasi susu tanda sayangmu
Ruz billaban di sisiku
Tidurmu kudampingkan
Sunyimu kuhiburkan
Jatuhmu kubangunkan
Sedihmu kulagukan
Sakitmu kubelaikan
Dan pasti jua kutanakkan
Ruz billaban
Dingin bertaburan kismis manisan
Buat insan pilihan
Yang sentiasa aku rindukan
Dalam doa dan tangisan
Suamiku Ya Harisan
Ya Habib Albey
Bidadara dunia teman dari Ilahi
*Ruz Billaban bermaksud nasi susu, hidangan Arab Mesir yang disajikan sebagai manisan yang boleh menyejukkan badan. Beras yang dimasak dengan susu ini membuatkan nasinya pekat tapi bukan bubur. Gula dan kismis ditambah sebagai pelazat lidah. Saya mula mengetahui akan ruz billaban bilamana membaca novel Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman Al-Sherazi. Ketika Fahri sakit, Maria menyediakan ruz billaban untuknya. Hati selalu tertanya-tanya bagaimana rasanya ruz billaban. Alhamdulillah. Kunjungan ke Egypt benar-benar terjadi seperti yang saya impikan. Perjalanan menjejak Ayat-ayat Cinta. Rezeki juga, sempat pula saya bertamu ke rumah cucu keturunan Rasulullah saw, Sheikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba'ith, dan dimakbulkan Allah, sempena Hari Asyura, isteri Syeikh menyaji ruz billaban buat tetamu. Sungguh! Hati telah jatuh cinta pada Ruz Billaban. Dalam perjalanan pulang dari Alexanderia ke Cairo, saya berseloroh dengan sahabat baik saya, Faaiqah, yang saya akan menulis sebuah sajak yang bertajuk Ruz Billaban.
Habibi = Kekasihku
Bait = Rumah
Harisan = Yang Bijak
Habib Albey = Kekasih hatiku ('ami/sebutan pasar)
No comments:
Post a Comment