March 30, 2008

Kekasih Dari Langit

Ada mimpi milik si ahli kitab
Juga dakwa mereka si penjaga mihrab
Dari langit nanti datangnya Nur
Nur penafi sihir si tukang tilik
Nur penyempurna di kala akhlak jahil jelik

Janji Allah pada Al-Masih
Sesudahnya dihantar seorang kekasih
Tiada tandingan wajahnya rupawan
Dihina tidak luak
Dicerca tidak berganjak
Tiada tandingan akhlaknya menawan

Nur itu dari langit
Diseru sekelian suara namanya Muhammad
Muhammad itu penghulu ummat
Muhammad itu pemberi syafaat
Sungguh, Nur itu hadiah dari langit

Muhammad itu namanya kirana
Jiwanya cahaya
Kekasih hati ummat yang bersyahadah
Kekasih terulung di sisi Allah

Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
19 Mac 2008-

February 14, 2008

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

February 10, 2008

.:Saga Cinta:.

Pernah dulu mengharum di jiwa,
Mendayu suaranya menggoda,
Lembut riaknya umpama sutera,
Bersih kalbunya mendamba cinta.

Dia idaman aku,
Hadirnya tidak bermimpi,
Hadirnya bak mentari,
Kamar gelap jadi berseri,
Hadirnya bak kasturi,
Harum wangi ke hujung hari,
Hadirnya bak kiambang,
Nampak seri akar tak jejak.

Belum terasa aku sedia,
Namun hati mendambanya,
Lalu ku cerna kata dua,
Undurkan diri dari hidupnya.

Andai satu suratan tertaktub,
Bagai telapak berganti teratak,
Kerdil diri dan kecil bumi,
Ketemu kembali di hayat kini,
Gemuruh jiwa nurani,
Gentarku sambut salam yang diberi,
Bicaraku kelu, senyum jadi ganti.

Ku persoal jiwa,
Sepuluh bintang,
Bertabur dan bertebaran,
Bolehkah sama,
Dengan bulan yang satu?
Kasih ku harap kekal abadi,
Titis di dunia menjadi saga,
Tidakkan ku merela,
Tautan terputus begitu sahaja.

Alam berkembang terus menguji,
Sekutu berkasih mengenang pedoman,
Tebar fikiran membaca langgam,
Membuang kasam melerai dendam.

~judin 08~

January 28, 2008

Dia Pengembara

Dia memang tampan
Lebih indah daripada menawan
Rautnya tenang malam
Matanya redup diam
Rahsianya penuh sejuta
Senyumnya penuh makna

Kenalilah dia
Kerana dia seorang pengembara
Yang masih seorang
Yang belum punya sarang
Untuk dia pulang

Kenaliah dia seorang pengembara
Yang jiwanya sejuk
Juga bersih seperti salji
Mencari saingnya
Untuk berhati mengelilingi

Kenalilah dia
Dia pengembara
Yang terasa jauh
Tapi sentiasa bersama


Buat dia,
Si Pengembara Muda.

January 3, 2008

Sabut Di Tengah Laut

Ada sabut
Separuh kusut
Terbiar hanyut
Di tengah laut
Ditampar ombak tidaknya ke tepi
Dipukul angin tidaknya jauh melari

Kisahnya si sabut membawa diri
Hingga hanyut di bawa pergi
Tenggelamnya tidak kerana kuat
Melawannya tidak kerana tak cukup hebat

Kisahnya si sabut dibuang orang
Dicampak ke laut bersama si parang
Tempurungnya dibakar menjadi arang
Parang tenggelam, sabut berenang

Tangan membuang menyorok diri
Takutkah diri dituduh menzalimi?
Lantas berdiam terus
Tanpa sebarang suara mahu bertanya
Apa khabar si sabut di laut sana?
Kuyupkah atau tenggelam sudahnya?

Sabut terus hanyut sendiri
Sendiri biar bayu bawa diri
Terima kasih pada si camar
Yang hinggap menemankan
Lalu terbang meninggalkan
Terima kasih pada si umang
Yang datang mendampingkan
Lalu terjun mencari cengkerang

Sampailah sudah kuatnya tiada
Akhirnya si sabut mencari muara
Lumpur mengalukan, bakau bersorakan
Si sabut datang menjadi teman
Saling menumpang kasih
Saling bertolongan
Si sabut kuat di situ
Biarpun arang tempurungnya
Terkubur jauh beribu batu

Di muara ini rumah baru sabut itu
Di muara ini sabut itu bertemu sesuatu
Si nipah yang mahu tumpang meredup
Si nipah yang buat sabut terus hidup

December 23, 2007

.:Syair Sarah:.

Berselendang putih
Bersongket warisan,
Senyuman melirik
Pada yang memandang,
Sopan tutur bicara
Adat tak tercela,
Kepada yang tua
Berhemah lakunya.

Rambut tak terpandang
Rapi bawah tudung,
Pria yang memandang
Rindunya bertahun,
Lembut wajahmu
Warisan Melayu,
Peri dan zahirmu
Mencuit kalbu.

Duhai Sarah,
Syair hamba syair memuji,
Syair tidak bersulam keji,
Syair hamba ikhlas dari hati,
Syair hamba memuji putri.


**Kerana terlalu bosan membaca untuk kertas akhir Mikrobiologi, apa salahnya mengisi masa dengan mengarang. Pendek, tapi penuh makna. Dedikasi khas utk rakan kongsi-->KS.

December 18, 2007

Resmi Hidup

Kalau di hulu sungai ribut laut terasa
Padamkanlah pelita kejap
Biar suram gelap
Tapi terbakar tidak

Kalau runtuh tanahnya yang berbukit
Pasangkanlah tiang pondok itu
Bertahan mungkin sehari saja
Tapi jangan robohnya sekelip mata

Kalau ada api yang marak panas
Lari jauh-jauh, duduk diam-diam
Sungguhpun api terpadam tidak
Tapi sudah jinak dan hidang abu hitam

Kalau ada hati dihulur dikongsi
Jangan ambil seluruh, simpanlah separuh
Terima dengan luhur dan akal
Biar kenal budi, baru dikongsi kasih

Cik Siti
Moscow 2005

December 14, 2007

Kalah Pada Tuah

Hajat tersurat tidak zahir
Inikan hajat tersirat yang sangat batin
Diluah mengubah nasib pasti mungkin
Disimpan menunggu takdir memang mustahil
Hai, nasibmu menjadi penakut
Selamanya di kali duduk melukut
Menanti tuah datang menjemput

Saban waktu terus tunggu
Kalau dirembat pasti ketemu
Sedangkan kaloi boleh bercakap
Buaian beralun tinggi ke atap
Tapi hajat itu tetap mahu dipendam
Sudahnya tuah mara, kau di belakang
Itu tuahmu yang kau harap
Tapi kukira kau tidak cekap
Tuah itu tunggu tapi kau mengalah
Kukira kepada tuah kau kalah

Tuah tidak kurang bila kau pengecut
Kau yang malang bila tuah mengabut


Cik Siti
Moscow 2007

December 13, 2007

Air Mata Sebuah Kisah

Tercubit hati dengan sebuah kisah
Kisah kasih yang tidak berbuah
Lidah tiada lafaz untuk memujuk
Hati tiada makna mahu merajuk

Air mata jadi cerita
Nukilan sebuah tragedi
Tragedi orang berkasih

Air mata ini cerita sebuah kisah
Kisah yang ada pangkal, ada sudah
Kisah yang terpisah jauh
Kisah kasih yang hilang sauh

Sedih dalam tawa
Tangis dalam ria
Tangan sudah tiada kuasa
Mulut sudah tiada suara
Jiwa sudah tiada daya
Hanya hati yang tinggal mahu terus setia
Kerana hati mahu temani air mata
Setia dengan tragedi
Tragedi orang berkasih

Keringlah air mata kisah ini
Kerana tragedi akan menjadi memori
Teruslah setia hati ini
Tiada siapa yang mahu pujuk atau mendekati
Tiada lagi erti rajuk atau disayangi
Teruslah kuat jiwa ini
Jika kau luluh
Aku turut jatuh

Keringlah duhai air mata
Air mata sebuah kisah
Kisah tragedi orang berkasih

Cik Siti
Moscow
12/12/2007

November 9, 2007

Oda Peri Rasulku

Terdayuh hiba dalam hatiku,
Tatkala menyusur riwayat lalu,
Bagailah mana liku hidupmu,
Dalam menerpa cita nan satu.

Dalam menjana amanah yang diseru ilahi,
Kala mendukung kalimah kalam wahyuNya,
Kau percaya janjiNya bukan puraan;
Andai berpinar pandangan mata,
Tidak sedetik pun kau lalai leka,

Engkau khalifah yang punya amanah,
Tabah fitrahmu, jua sempurna jiwa,
Tatkala tiba jatuh dan tewas,
Pantang kau renung langit menyoal iman,
Lantas menabur padaNya belas kasihan.

Bumi Hijjaz menjadi saksi,
Rasulku pernah menyatu negeri,
Segenap buana engkau rentasi,
Mencorak peradaban menyulam budi,
Meneguhkan iman dan Islam dalam setiap insani,
Melarik jiwa kepada ilahi,
Menjadi imam pada yang sudi.

Lahirnya engkau meluluhkan kebejatan duniawi,
Diutuskan tuhan demi memacu bani insani,
Sayap syiarmu berkembang sudah kini,
Kelarai kalam Quran terpahat di setiap hati ini,
Engkau wasiatkan sunnahmu tinggalan peribadi;
Bagi memimpin mana yang dangkal,
Menepis kekhilafan adab dan amal.

Ku harapkan panas tahan ke petang,
Rupanya hujan di kala siang,
Begitulah jua harapanku padamu…..
Ku harap dirimu kekal di pangkuan,
Apakan daya turut dibawa pulang,
Namun tiada secalit duka dan lara pada jiwa ini,
Kerana aku mengerti,
Engkau berjaya menepis badai dan api,
Dan kudratku kini cuma mampu melewati,
Cerita pandanganmu dengan penuh damai hati,
Kan ku jalinkan nafas dan cinta pada mu,
Dalam setiap doa yang ku utuskan,
Selama hayatku berteraskan Islam dan iman.