February 22, 2010
Sensasi Salji
hujan emas di luar negeri
hujan batu di laman sendiri,
dipilihnya mereka tanah pertiwi.
Apa pula pilihan anda?
Andai hujan salji yang menimpa,
putih menebal segenap kota,
cantiknya memang tak terkata
menutup segala buruk dan cela.
Bumi tsar memang unik,
dirahmati iklim subartik,
bertuah rasa di hati terdetik,
sempat merasa kala hayatku celik.
Judin. 22022010.
Moscow masih lagi digenangi salji tebal walaupun bulan Mac hampir tiba. Kerana kalau mengikut kalendar musim, 1 Mac sudah bermula musim bunga. Maka, bergembiralah saya dengan salji sepanjang perjalanan ke kelas setiap hari. :)
February 20, 2010
Khabar Dari KS
Dunia kita memang sepi di sini
jarang-jarang ada angin semilir ke mari
tapi di hati masih adanya cinta
buat bahasa dan seantaranya.
Biar kabus kian menghilang
biar hujan kian mereda
biar panas kian meneduh
dunia kita biarkan di sini
kerana suatu hari nanti
ia yang kita cari
untuk berkongsi rasa dan jiwa
dengan semua
tentang apa yang kita teroka
dan memahat memori suka suka.
Dunia kita istimewa.
Dunia kita relevan selamanya.
Salam dari Malaysia.
KS rindu sama kamu!
=)
December 12, 2009
Kisah Kini
anda bertandang ke sini,
yang ada cumalah sunyi,
menyambut dengan rendah hati.
Dahulu hingga kini,
minat kami tidakkan mati,
tapi masa sukar dicuri,
walau untuk sebaris puisi.
Syukur pada Ilahi,
KS berpangkat doktor kini,
bertimbun kerja saban hari,
ke sana ke sini berlari-lari,
bagai esok sudah tiada lagi.
Dan aku masih di sini,
sentiasa menghitung hari,
menanti setahun lagi,
menunggu hari graduasi,
dan pulang ke tanah pertiwi.
Persoalannya kini,
Antologi Dunia relevankah lagi?
Kasihan saya tengok blog ini. Hidup segan, mati tak mahu. Apa susah, merapu sajalah bagi mengisi hiatus ini. hehehe =p
April 25, 2009
Musim Bunga Moscow
MOSKVA di musim bunga,
jadi kota yang sempurna,
tempat idaman semua.
Kuntuman tulip di laman Kremlin
jadi gamitan pencinta seni.
Harum nian bunga-bunganya
jadi ikatan pasangan bercinta.
Siang musim ini yang panjang,
diserikan jeritan dan hilai riang,
kicau burung dan unggas taman,
tari joget pemuda dan perawan.
Silau mata memandang
akan sinar dan bahang suria,
berlatar langit biru damai,
menyerlahkan kehijauan pohonan
dan citrawarna kubah-kubah katedral.
Tenang mengalir reka Moskvi,
jadi susuran kapal menghilir.
Penuh orang di pinggir air,
bila taman Gorki bernyawa kembali,
setelah lama digenangi salji.
Gegak gempita satu kota
dengan karenah manusia,
meriah lapangan merah
dengan pelawat dan peniaga,
dari Fabergé hingga matroshka
segalanya ada sedia diniaga,
benderang malam-malamnya
bermandikan kilauan lentera.
Sungguh musim bunga,
lambang kehidupan,
harapan dan cinta.
Hafizuddin,
Musim Bunga 2009, Moscow.
April 20, 2009
Dinamika Hidup
bagai angin tak reti bertiup
air tak reti mengalir.
Terpekung menadah sisa-sarat
menuntun hidup penuh darurat.
Hidup, kalau dibiar indah
ada yang dengki, datang membenci
tangan tak hulur, mulut memaki.
Yang berat lagi membeban
yang terikat lagi bersimpul.
Inikah manusia?
Datang dengan hasad
pergi dengan suka?
Alasannya:
“Oh, aku terlupa.
Maafkan aku.
Akukan manusia.”
Angin dibiar hentap
lama-lama berkepam.
Air dibiar bertakung
lama-lama membusuk.
Lepaskan mereka
Hidup lebih bahagia tanpa ini semua.
Cari angin yang kuat
air yang deras
hidup dihempuk asakan
ubatnya pada nyaman dan segar.
Sehabisnya, dinamika itu ada.
Lebih baik begini.
Sarah Mohd Shukor
20 April 2009
16-205, Bolshaya Piragovskaya.
April 19, 2009
Haiku For You
For the air you spray into me
Lessen the tightness
You set me free.
Selfless, I return to you
One I, and only one you.
No word could you doubt me
The heart is no empty.
Haiku, in all I shall tell you
You rhyme in my pace
setting me into peace.
Haiku for you.
Mysara, the lovely you.
-a-
March 20, 2009
Bila Tuhan Katakan Jadi
kau secanting hajat di hati bonda
penggalas doa garapan ayahanda
moga menjadi yang tangkas akalnya
memekar hati bertuankan Tuhan
memutik diri berperikan iman.
Bila Tuhan katakan jadi
kau senyum persis bidadari.
Bidadari resminya tidak mengguruh
sungguhpun dunia menyalak lagu-lagu neraka.
Kau memilih jalan payah
membutuh kasih akhirat
hiba menadah tangan
menolak jelaga-jelaga ria
mendepang mencari syurga
dalam debu dunia berkusta.
Wahai jasad yang cantik akhlaknya
kau sebuah kisah indah harapan agama
mengibar mujahadah dalam susah
menghidang batin membela ummah
tidak lurut dek teriak-teriak gundah.
Bidadari resminya tidak berundur
sungguhpun langit runtuh diasak dunia
kau leka menadah harap
mendidik hati menjadi kuat
untuk meludah keparat.
Kau memohon tangis-tangis dari syurga
yang sayup mengaminkan
doa-doa bahagia buat dunia seisinya.
Bila Tuhan katakan jadi
bertasbih Jibril, bersujud penghuni langit
muncul suri hiasan dunia
pencinta jalan Tuhan
jalan bahagia
kau bidadari istimewa lakaran-Nya.
Siti Sarah Binti Mohd Shukor
Metro Kashirskaya
6 Mac 2009
January 27, 2009
Kau Keharumanku Yang Indah
Pada pagi-pagi yang menyinsing
pada malam-malam yang hening
adalah kau matahari
adalah kau bulan bersemi
juga seluruh detik masa
antara keduanya.
Aku takkan mampu
membawa satu tamsilan.
Atau menggubah sesuatu
untuk kubuat bandingan.
Kalau itulah kejayaanku
maka itulah kejahilanku
kerana mencipta kau yang kedua
tak tertanding pada kau yang sedia.
Kerana kau lembut budi, sopan diri,
senyum manis, luhur terpuji.
Kerana kau berani berdiri, teguh sendiri,
diam bernyawa, riuh berjiwa.
Kerana kau keharumanku yang indah
kerana kau sahabat yang setia.
Nota 1: Selamat hari lahir, Wanie! (26 Januari)
Nota 2: Maksud Shazwani ialah keharumanku.
December 26, 2008
Adat Hidup
(KS)
Adat meraut buluh,
ada yang luka, ada yang sembuh.
Adat memasang jerat,
ada yang lepas, ada yang dapat.
Adat memakan lada,
ada yang pedas, ada yang terasa.
Adat meniup arang,
ada yang menyala, ada yang padam.
Adat memberi peri,
ada yang puji, ada yang keji.
(NH)
Adat di lambung tinggi-tinggi,
ada yang tergolek, ada yang mati.
Adat yang berkasihani,
Ada yang disayangi, ada yang patah hati.
Adat berdendam,
Ada yang berang, ada yang memendam.
Adat seorang manusia,
Bila dah mati, baru dirindui.
KS - NH
Moscow - Kuala Lumpur
25 Disember 2008
Nota 1: Tak semua yang kita buat serba mengena di mata orang lain.
Nota 2: Terima kasih NH atas khidmat bantuan yang dihulurkan.
December 25, 2008
The Unspoken Freedom
there are people
longing for freedom.
There are people who stay
even when the time washes away.
There are people who leave
even when freedom is almost to lead.
There would be strife
fetter a greater life
to agree what the world disagrees
to set you free from all the tyrannies.
If it is a fear you would dispel
come by dear I tell you a spell
though it's hard to cast off
but we may try to cut the handcuff.
So long the freedom is hidden
so long it is left unspoken
there can be no right in the twisted sight
thus so long to the dazing light.
When the rhyme ends
the unspoken freedom begins
to rise in.
Sarah Mohd Shukor
Pushkin Hostel
15 December 2004
Nota: Baru tersedar bahawa sajak itu sudah berusia 4 tahun lebih! Saya tulis ketika di tahun 2 dulu. Punyalah dah lama! (sekarang saya rasa sajak ini sangatlah buruk) =p